PETALING JAYA – Seorang pengguna Facebook mengakui berjaya mendaftar bagi vaksin AstraZeneca fasa 2 hari ini setelah menukarkan tetapan bahasa di laman pendaftaran tersebut.
Pengguna berkenaan, Rushdan Rashid berkata, dia menukar bahasa di laman pendaftaran kepada bahasa Tamil setelah dia dan isterinya masing-masing bosan dan putus asa dalam percubaan mereka cuba mendaftar.
“Punyalah battle rebut slot tadi, isteri putus asa lama tunggu, tukar bahasa Tamil terus dpt slot, pukul 1 (petang) dia dapat.
“Berapa tahun rahsia pandai bahasa Tamil ni. Hahaha Alhamdulillah, dua-dua dapat. Tak tahu dah tarikh, tempat kat mana. Masing-masing main tekan je,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Hantaran itu dibalas seorang kenalannya yang bernama Anthony Liew yang berkata, dia juga membuat perkara sama.
“Sama. Saya tak tahu lokasi dan tempat untuk saya dan isteri,” katanya. – K! ONLINE