SEBERANG PERAI – Polis melakukan siasatan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee berkaitan gambar beliau sedang makan di sebuah kedai yang dimuat naik di laman sosial Facebook hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan Lip Chee melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 petang, 23 Mei lalu apabila beliau dikatalan hadir di sebuah medan selera untuk mempromosikan satu gerai makan.
“Beliau juga mendakwa hanya masuk ke kedai itu untuk ambil gambar seolah-olah beliau sedang menjamu selera bagi tujuan mempromosi kedai, “katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021.
Kejadian berkenaan dikatakan berlaku di Medan Selera Sin Tat Garden, Butterworth di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri itu memuat naik satu hantaran di Facebook pagi tadi bersama beberapa keping gambar bagi mempromosikan sebuah kedai makan dengan keterangan dalam bahasa Cina.
Satu daripada 16 keping gambar tersebut memaparkan Lip Chee seolah-olah sedang menikmati cakoi bersama kopi O di kedai itu, sedangkan aktiviti makan di kedai adalah dilarang ketika ini.
Sementara itu, Lip Chee berkata, gambar berkenaan dimuat naik oleh pembantu peribadinya sebagai salah satu cara membantu peniaga kedai kecil mempromosikan produk jualan mereka.
“Memang saya ada ambil gambar atas permintaan pemilik kedai, tetapi saya tidak makan dan hanya berlakon.
“Setiap Rabu saya memang akan muat naik gambar jualan makanan penjaja kecil sebagai usaha saya untuk bantu mereka,” katanya.
Beliau berkata, akan memberi kerjasama kepada pihak polis bagi siasatan lanjut. – K! ONLINE