KOTA TINGGI – Disebabkan isu kesihatan, seorang ibu di Taman Bayu Damai, Pengerang di sini terpaksa ‘mengurung’ anaknya di dalam rumah selama hampir sembilan tahun.
Siti Rohayu Mohamad Rosdi, 36, berkata, Muhammad Hazrul Zainurin, 10, dilahirkan dengan masalah saluran pernafasan sempit, lelangit sumbing dan paru-paru yang mudah dijangkiti kuman.
Jelasnya, sejak lahir Muhammad Hazrul dijaga rapi dan perlu dilindungi daripada udara kotor yang boleh menjejaskan pernafasannya.
“Ketika baru dilahirkan, anak saya bergantung kepada tiub pernafasan agar dapat bernafas dengan lebih baik, terutamanya ketika tidur.
“Kami pernah berdepan detik cemas iaitu ketika Hazrul sedang nyenyak tidur, wajahnya secara tiba-tiba bertukar biru akibat tidak dapat bernafas.
“Sebab itu selama hampir sembilan tahun, saya tidak benarkan dia bermain di luar rumah seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.
Menurut Siti Rohayu, seiring dengan pertambahan usia selain keadaan kesihatan Muhammad Hazrul yang dilihat semakin baik, dia dan suami, Zainurin Selamat, 54, mula membenarkan anak sulungnya itu bermain di luar rumah tahun ini.
Katanya, seorang lagi anaknya, Muhammad Haziq, 6, akan menjadi peneman abangnya setiap kali keluar bermain.
Suri rumah itu berkata, mereka memerlukan sekitar RM1,000 sebulan untuk kos rawatan, antaranya untuk membeli thermo trach trachestomy dan tiub suction catheter yang digunakan setiap hari untuk membuang kahak dari leher Muhammad Hazrul yang telah ditebuk.
Kedua-dua peralatan itu diperolehi daripada farmasi dan perlu disediakan awal kerana digunakan secara pakai buang.
“Suami bekerja sebagai operator di stesen minyak dengan pendapatan bulanan RM1,300, namun kami mendapat sokongan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang banyak membantu,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyumbang ke akaun Bank Islam Siti Rohayu iaitu 0113-5020-1449-66. -K! ONLINE