MERSING – Polis menjumpai rangka manusia disyaki milik seorang lelaki yang dipercayai hilang selama 20 hari di Batu 17, Jalan ke Ladang Kumpulan Melayu dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihak polis menerima aduan dari orang awam pada pukul 10.30 pagi yang memaklumkan penemuan rangka terbabit.
Siasatan polis mendapati mayat itu ditemui kira-kira lima kilometer dari jalan besar Jalan Mersing-Kota Tinggi dan ia merupakan jalan tanah merah di kawasan hutan terpencil yang turut terdapat sebuah pondok memancing di lokasi tersebut.
Tambahnya, identiti awal si mati dipercayai seorang warga emas berusia 66 tahun dikenali sebagai Zainal Mohd. yang beralamat di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor.
“Siasatan polis di tempat kejadian mendapati, motosikal yang ditunggang si mati dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam hutan sewaktu menuruni laluan berbukit.
“Kerosakan motosikal itu selari dengan kejadian terbabas berdasarkan kerosakan pada pemegang motosikal, cermin sisi yang pecah dan pedal brek yang telah bengkok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussin berkata, turut dijumpai di tempat kejadian adalah sehelai baju, seluar jean dan sehelai jaket bewarna merah dipercayai milik si mati dan akan digunakan untuk pengecaman waris mangsa.
Siasatan lanjut mendapati mangsa telah keluar rumah di Tenggaroh pada 6 Mei lalu dan tidak balik dari tarikh berkenaan dan kehilangannya telah dilaporkan warisnya pada 18 Mei lalu.
“Pengecaman awal oleh ahli keluarga si mati ke atas rangka manusia yang ditemui adalah disyaki milik mangsa berdasarkan kepada pakaian jaket warna merah dan juga motosikal simati yang berada di tempat kejadian,”katanya lagi.
Tambahnya, sampel darah adik perempuan simati juga akan diambil untuk tujuan perbandingan DNA bagi mengesahkan hubungan keluarga dan status penemuan rangka manusia berkenaan.
“Buat masa ini, status siasatan kes tersebut diklasfikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. -K! ONLINE