KOTA BHARU – Sebanyak 12 premis pasar raya di Kelantan didapati mematuhi operasi had maksimum dua jam (Ops Had 2J) yang ditetapkan kepada setiap pelanggan hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, menerusi operasi itu, pihaknya memantau premis perniagaan tersebut yang perlu memaparkan jumlah had kemasukan pelanggan dan masa selama dua jam.
“Kita dapati hasil operasi di semua premis seperti kompleks beli-belah, pasar raya atau kedai serbaneka mematuhi arahan itu.
“Penggunaan sistem nombor giliran adalah digalakkan bagi mengawal kemasukan pelanggan dalam sesuatu premis dengan penjarakan fizikal satu meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pada masa sama, penggunaan aplikasi MySejahtera dan buku pendaftaran kehadiran pelanggan disediakan di laluan masuk premis perniagaan.
Katanya, beliau menggalakkan sekurang-kurangnya seorang pekerja ditugaskan bagi mengawal laluan keluar masuk pelanggan ke premis perniagaan.
Tambahnya, Ops Had 2J itu fokus kepada premis perniagaan seperti kompleks membeli-belah, pasar raya, pasar malam dan pasar tani yang merupakan lokasi tumpuan pengguna. – K! ONLINE