LUMUT – Polis Daerah Manjung tidak ada mengeluarkan sebarang kompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap mana-mana individu yang makan dalam kereta di Sitiawan, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, semakan beliau mendapati tiada individu yang ditahan atau dikenakan tindakan disebabkan makan dalam kereta ketika tempoh PKP sekarang.
Justeru, beliau tidak pasti motif seorang individu yang memuat naik klip video mendakwa kononnya membeli makanan di Sitiawan dan mempertikai adakah ia hanya boleh dimakan hanya apabila dia sampai di rumahnya di Ipoh yang jaraknya kira-kira 100 kilometer.
“Saya sudah melihat video itu dan mengesahkan hasil semakan mendapati tiada kompaun atau individu ditahan kerana makan makanan bungkus dalam kenderaan mereka.
“Kita tidak pasti motif sebenar video yang dibuat lelaki tersebut. Kenyataan dan gambaran diberikannya juga tidak jelas sama ada dia dikompaun atau dilarang makan dalam kereta,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nor Omar mengulas, klip video tular dirakamkan seorang lelaki dalam kereta tetapi tidak menunjukkan mukanya, tetapi suaranya jelas kedengaran mendakwa mempunyai surat kebenaran merentas daerah dari Ipoh ke Sitiawan.
Dalam video tersebut, individu itu mendakwa sudah membeli nasi bungkus di Sitiawan kerana lapar dan mempersoalkan adakah dia hanya boleh makan hanya apabila balik rumah, bukannya dalam kereta.
Lelaki tersebut bagaimanapun tidak menyebut secara jelas sama ada pihak berkuasa ada melarang, menahan atau mengeluarkan kompaun kepadanya kerana makan dalam kereta.
Nor Omar percaya video itu dimuat naik kerana individu itu salah faham terhadap kenyataan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berhubung premis makanan yang menyediakan perkhidmatan ‘park & dine’ di dalam kereta sebagai melanggar SOP PKP.
Beliau kesal dengan penyebaran klip video itu yang dikhuatiri akan memberi gambaran tidak jelas dan mengelirukan orang ramai. – K! ONLINE