GEORGE TOWN – Satu objek dipercayai tengkorak manusia ditemui di dalam longkang oleh orang awam di Jalan Maklom di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sofian Santong berkata, tengkorak itu dijumpai oleh lelaki berusia 22 tahun yang kemudiannya memaklumkan kepada majikan syarikat tempatnya bekerja.
“Kelindan lori itu sedang menghisap rokok di lokasi kejadian sebelum ternampak satu objek disyaki tengkorak manusia di dalam lubang longkang yang terbuka sebelum memaklumkan kejadian itu kepada majikannya,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang tiba di lokasi kejadian sejurus mendapat laporan mengenai kejadian itu.
“Pihak polis telah menghantar objek tersebut ke Jabatan Forensik. Kita juga sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi siasatan lanjut,” katanya.
Tambah Soffian, kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut sehingga laporan hasil bedah siasat diperolehi. – K! ONLINE