SHAH ALAM- Tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilihat sebagai kritikal bagi melihat keberhasilan penguatkuasaan perintah tersebut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini termasuk langkah dilaksanakan kerajaan Persekutuan dalam menutup pusat pendidikan serta mengurangkan jumlah pekerja di pejabat bagi sektor awam dan swasta yang diharap dapat mengurangkan kes Covid-19.
PKP 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan dilaksanakan bermula hari ini sehingga 7 Jun depan.
“Semalam (Isnin), kita dah tamatkan dua minggu pertama PKP 3.0 dan mulai hari ini sehingga 7 Jun, kita hendak tengok adakah langkah-langkah yang telah diambil dapat mengurangkan kes.
“Dalam data yang dikeluarkan semalam, terdapat pengurangan kes di institusi pendidikan dan tempat bekerja,” katanya selepas melawat katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca di Pusat Konvesyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Berdasarkan statistik kes harian yang dicatatkan di Selangor semalam adalah sebanyak 2,049 kes berbanding 2,235 kes pada hari Ahad.
Ketika ditanya berhubung tindakan keputusan Kerajaan Persekutuantidak melakukan PKP penuh, Amirudin menjelaskan ia dilakukan setelah mengambil kira pandangan daripada semua Menteri Besar, wakil kementerian, pengarah kesihatan negeri dan beberapa pihak berkepentingan.
“Pelbagai kesan akan timbul sekiranya PKP penuh dilaksanakan seperti kebarangkalian ramai kehilangan pekerjaan atau perniagaan-perniagaan kecil ditutup.
“Namun, sekiranya kes Covid-19 terus meningkat secara mendadak pada masa akan datang, mungkin pelaksanaan PKP penuh adalah yang terbaik. Kerajaan Persektuan dan negeri perlu membuat persiapan awal dari aspek kewangan dan logistik untuk membantu rakyat yang terkesan,” tegasnya. -K! ONLINE