GEORGE TOWN – Lelaki yang didakwa mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang kakitangan di kaunter Jabatan Akauntan Negara (JANM) di tingkat 42, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini Jumaat lalu dipercayai masih berada di daerah Timur Laut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, usaha mengesan suspek berusia 40 tahun itu masih diteruskan sehingga hari ini biarpun lebih 72 jam kejadian berlaku.
Menurutnya, lelaki tempatan yang dikatakan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan itu kini telahpun disenaraihitam .
“Setakat ini, kita telah membuat serbuan di tiga lokasi rumah yang dipercayai menjadi tempat tinggal suspek tetapi dia tiada.
“Usaha mengesan suspek masih diteruskan dan kita percaya dia masih berada di dalam kawasan Timur Laut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jumaat lalu, Kosmo! Online melaporkan polis telah mengenal pasti identiti suspek yang bertindak mencuri telefon bimbit seorang kakitangan terbabit ketika berurusan di kaunter pada pukul 11 pagi.
Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman dari sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kelibat suspek mengambil telefon bimbit dari kaunter berhampiran lalu mematikan peralatan komunikasi tersebut.
Video yang berdurasi 36 saat itu turut memperlihatkan suspek semasa kejadian memakai pelitup muka dengan kaca mata diletakkan di atas kepala sedang berdiri serta duduk seketika di kerusi hadapan kaunter pemilik telefon bimbit terbabit. – K! ONLINE