LANGKAH pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari pada Kejohanan Terbuka Antarabangsa El Gouna tersekat di pusingan ketiga selepas tewas kepada pilihan kedua, Nouran Gohar 9-11, 10-12, 7-11 awal pagi semalam.
Meskipun tewas, namun pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu tidak memberi laluan mudah buat Nouran apabila memberi tentangan sengit sepanjang tiga set permainan.
Justeru, Sivasangari mengakui dia berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan kerana lawannya itu bukanlah calang-calang pemain kerana menghuni ranking kedua dunia.
“Pada perlawanan hari ini (semalam), terbukti mengapa dia (Nouran) adalah pemain No. 2 dunia. Saya sudah berikan segala-galanya pada perlawanan itu dan gembira dengan aksi keseluruhan.
“Secara jujur, permainan saya sudah semakin meningkat dan lebih baik jika dibandingkan ketika beraksi pada kejohanan Black Ball. Saya harap boleh bangkit lebih baik selepas ini,” katanya.
Mengulas aksi semalam, pemain No. 36 dunia itu menjelaskan, dia ada melakukan beberapa kesilapan sehingga memberi peluang kepada lawan untuk mengutip mata demi mata.
“Pada set pertama dan kedua, saya mendahului beberapa mata dan bermain agak yakin. Bagaimanapun, saya tiba-tiba hilang fokus dan lakukan kesilapan mudah,” ujar Sivasangari.
Sementara itu, Nouran tanpa berselindung memuji aksi ditampilkan Sivasangari selain menganggap pemain kelahiran Kedah itu antara yang perlu diberi perhatian.
“Sivasangari adalah pemain yang hampir lengkap. Saya percaya dia antara pemain yang sentiasa mencuri tumpuan. Saya gembira kerana mampu menewaskannya dalam satu perlawanan sengit,” kata pemain Mesir itu.