fbpx

Perkhidmatan LRT beroperasi seperti biasa -Prasarana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya masih beroperasi seperti biasa bermula pukul 6 pagi menggunakan satu landasan (single track) serta disokong oleh perkhidmatan bas perantara percuma.

Prasarana Malaysia Berhad berkata, kekerapan tren adalah setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu selainnya serta pengurangan kapasiti kepada 50 peratus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), penumpang dijangka perlu menunggu dengan lebih lama sedikit daripada biasa.

Kata kenyataan itu, kekerapan tren dari Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 hingga 7 pagi adalah setiap 30 minit, 7 hingga 9 pagi (10 minit-waktu puncak), 9 hingga 10 pagi (30 minit), 10 pagi hingga 5 petang (60 minit), 5 petang hingga 7 malam (10 minit- waktu puncak) dan setiap 30 minit dari pukul 7 malam hingga 11 malam.

“Bagi Sabtu, Ahad dan cuti umum kekerapan tren dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi adalah setiap 30 minit, 10 pagi hingga 5 petang (60 minit) dan 5 petang hingga 11 malam adalah setiap 30 minit.

“Bagaimanapun, kekerapa tren mungkin diubah suai mengikut keperluan semasa operasi,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, bagi melancarkan pergerakan penumpang pada waktu puncak, lima bas perantara dua tingkat percuma.

“Perkhidmatan bas dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit turut disediakan untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park,”ujarnya.

Seramai 213 penumpang tren LRT laluan Kelana Jaya dilaporkan cedera dalam kejadian itu, semalam.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seramai 213 penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dilaporkan cedera selepas tren berkenaan brek secara mengejut di Stesen KLCC dari arah Kampung Baru di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial yang memaparkan gambar dan video membabitkan penumpang yang tercedera dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam tersebut.

Suasana panik berkenaan dapat dilihat dengan jelas menerusi sebuah rakaman video berdurasi 12 saat yang tular di media sosial.

Beberapa penumpang juga dilihat terduduk di lantai yang penuh dengan kaca berderai dan terdapat penumpang yang menangis teresak-esak sambil menutup bahagian tubuh yang berdarah selepas terjatuh akibat insiden tersebut.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI