BENTONG – Operasi kasino di Genting Highlands ditutup sepenuhnya malam semalam selaras dengan arahan yang diberikan pihak berkuasa susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan semalam mendapati kasino berkenaan telah menghentikan operasi dan mematuhi arahan yang diberikan pihak berkuasa.
“Pemantauan dan pemeriksaan dilakukan bagi memastikan pengoperasian di pusat kasino Genting Highlands ditutup sepenuhnya selaras dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.
“Berdasarkan pemeriksaan kita mendapati mereka akur arahan yang diberikan,”katanya di sini, hari ini.
Semalam Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, semua operasi membabitkan kasino di pusat peranginan Genting Highlands di sini akan ditutup sepenuhnya bermula malam semalam.
Pada 7 Mei lalu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 16 daripada 28 pelancong dari Alor Setar, Kedah yang dikatakan mengunjungi Genting Highlands positif Covid-19.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan pelancong terbabit mengunjungi kasino terbabit atau tidak.-K! ONLINE