fbpx

‘Mungkin kami terpaksa tahan lapar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan polis yang bertugas 24 jam melakukan pemeriksaan ke atas pengguna di SJR di Plaza Tol Bentong baru-baru ini. Gambar hiasan

TEMERLOH – Petugas barisan hadapan terutama yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) dan melakukan rondaan kini sukar untuk membeli makanan selepas pukul 8 malam mulai hari ini sedangkan mereka perlu bekerja mengikut syif.

Mulai hari ini, semua premis perniagaan termasuk restoran hanya dibenarkan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 8 malam sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan sekatan tambahan yang lebih ketat.

Seorang petugas barisan hadapan yang enggan dikenali mendakwa, mereka yang bertugas 24 jam sudah tentu sukar untuk mendapatkan makanan apabila semua kedai makan telah ditutup seawal 8 pukul malam.

“Mungkin ada antara kami yang terpaksa menahan lapar atau membawa bekal sendiri atau terpaksa berkejar pulang ke rumah bagi mendapatkan makanan sehingga mengganggu tugas.

“Bagi orang bujang, penutupan awal kedai makan sudah tentu menyukarkan mereka yang sebelum ini membungkus makanan dari luar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, masalah itu juga akan memberi kesan kepada petugas SJR yang dibekalkan makanan dua kali sehari iaitu pada waktu siang dan malam kerana kesemua petugas akan bergantung kepada makanan tersebut.

“Jika bekalan makanan untuk syif malam dihantar pembekal lebih awal sebelum pukul 8 malam, mungkin ia akan diambil oleh petugas yang ada kerana mereka juga kelaparan menyebabkan petugas syif seterusnya ketiadaan makanan,” ujarnya.

Seorang lagi petugas barisan hadapan yang juga enggan dikenali berkata, sebagai individu yang masih bujang, ketiadaan kedai makan yang beroperasi selepas pukul 8 malam akan memberikan kesukaran kepada mereka untuk mendapatkan makanan.

Bagaimanapun katanya, mereka tiada pilihan lain dan harus berkorban bekerja dengan komitmen yang tinggi walaupun terpaksa berlapar dalam usaha membanteras penularan Covid-19 yang masih membimbangkan.

“Memang agak sukar kerana kami tidak sempat untuk memasak dan membawa bekal, jadi terpaksalah kami bertahan juga dengan apa sahaja makanan yang ada seperti biskut dan makanan segera jika bertugas syif malam,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga gerai makanan pagi, Jamal Abdul Nasir, 57, berkata, keputusan kerajaan menetapkan pembukaan kedai makan mulai pukul 8 pagi tidak bersesuaian dengan peniaga sepertinya.

Katanya, rata-rata pelanggan akan singgah membeli sarapan seawal pukul 7 pagi sebelum mereka masuk bekerja.

“Keadaan ini pastinya menjejaskan jualan kami seperti nasi lemak dan kuih-muih yang tidak akan laku.

“Bagi peniaga sepenuh masa seperti saya memang amat terbeban sekali kerana kami hanya membuka kedai separuh hari dan menyasarkan orang membeli sarapan,” katanya yang berniaga nasi lemak dan roti canai di Bentong.

Justeru, Jamal berharap kerajaan akan mempertimbangkan supaya operasi kedai makan dapat diawalkan sedikit bagi membolehkan perniagaan mereka terus bertahan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI