MADRID, Sepanyol – Mayat seorang lelaki ditemui di dalam sebuah patung dinosaur gergasi di Barcelona, Sepanyol selepas seorang bapa dan anak lelakinya melaporkan mengenai bau busuk.
Polis di Barcelona sedang menyiasat kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam patung itu ketika cuba mengambil telefon bimbitnya.
Bapa dan anak lelaki berkenaan yang merupakan pelawat tetap di lokasi itu menghubungi polis selepas terhidu bau busuk di tempat mereka biasa bermain, lapor akhbar La Vanguardia.
Apabila anggota bomba dan polis mengintai ke dalam rekahan pada kaki patung Stegosaurus itu, mereka melihat mayat mangsa.
Mereka kemudian menggunakan gergaji untuk membuat lubang pada patung tersebut dan mengeluarkan mayat mangsa menggunakan kren.
Mayat itu dikenal pasti sebagai seorang lelaki berumur 39 tahun yang dilaporkan hilang oleh keluarganya beberapa jam sebelum mangsa ditemui.
Polis percaya dia terjatuh ke dalam patung itu ketika cuba mengambil telefon bimbitnya.
Sumber tempatan melaporkan bahawa tiada perbuatan khianat dalam kejadian itu manakala mayat mangsa juga tidak menunjukkan kesan dipukul atau ditikam.
Patung dekorasi itu juga telah dipindahkan dari lokasi tersebut di luar Bangunan Cubic. Ia diletakkan di lokasi tersebut sebagai iklan untuk sebuah pawagam lama di Barcelona. – Agensi