PETALING JAYA – Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemalangan melibatkan dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan.
“Beri ruang (pasukan task force) yang diwujudkan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Sepanjang tempoh siasatan, orang ramai atau sesiapa jua pun janganlah cuba menimbulkan sebarang spekulasi, andaian dan pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam,” ujarnya ringkas dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap dakwaan seorang individu yang mengaitkan insiden berkenaan dengan serangan siber.
Terdahulu, dalam kejadian sekitar pukul 8.33 malam tadi, seramai 47 penumpang cedera parah manakala 166 cedera ringan selepas dua buah tren LRT Laluan Kelana Jaya bertembung.
Setakat ini, 65 penumpang yang terbabit dalam kemalangan itu masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). – K! ONLINE