PETALING JAYA – Penangkapan dua individu yang bergerak sebagai tokan dadah telah berjaya membongkar dua makmal dadah yang beroperasi di dua buah rumah berasingan di Puchong dan Jalan Gombak, Gombak, Selangor sejak dua tahun lalu.
Kedua-dua individu yang berusia 30-an diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) di sebuah taman permainan, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur kira-kira pukul 4 petang pada 16 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, polis kemudiannya melakukan serbuan ke sebuah pangsapuri kos rendah di sekitar Bandar Baru Sentul dan telah menjumpai sejumlah dadah.
Susulan itu katanya, pada 17 Mei, lebih kurang pukul 7 malam, serbuan sekali lagi dilakukan di sebuah rumah di Puchong dan berjaya menahan tiga lelaki dan tiga wanita berusia di antara 30 tahun hingga 65 tahun.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas rumah berkenaan berjaya membongkar kegiatan kesemua suspek yang menjadikan rumah tersebut sebagai makmal memproses dadah jenis methamphetamine.
“Turut ditemui di rumah terbabit adalah sejumlah bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah tersebut ,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sentul hari ini.
Menurut Eng Lai, siasatan lanjut pihaknya berjaya memberkas seorang lelaki tempatan di sebuah rumah di Setapak, Kuala Lumpur yang dipercayai mempunyai kepakaran dalam memproses dadah.
“Penangkapan suspek ini telah membawa pasukan polis ke sebuah lagi rumah yang dijadikan makmal pemprosesan dadah di Jalan Gombak, Selangor.
“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas rumah berkenaan turut menjumpai bahan-bahan kimia serta peralatan untuk menghasilkan dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.
Menurut beliau, keseluruhan dadah jenis methamphetamine dan kanabis yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM57,330 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE