BEIJING – China dikhuatiri boleh menjadi pencetus wabak maut baharu dalam tempoh terdekat jika negara berkenaan tidak mengambil pengajaran daripada penularan pandemik Covid-19 dua tahun lalu, demikian amaran yang dikeluarkan pakar-pakar kesihatan.
Beijing dituduh cuba merahsiakan asal usul pandemik Covid-19 yang yang dilaporkan bermula di sebuah pasar basah di bandar raya Wuhan namun tiada bukti kukuh untuk mengesahkannya, lapor akhbar The Sun, kelmarin.
Pakar-pakar memberi amaran mengenai percambahan berterusan pasar basah di China yang dibimbangi berisiko mencetuskan wabak baharu.
Dunia sehingga kini berusaha keras memerangi pandemik koronavirus yang terus berleluasa dan membunuh lebih daripada 3.3 juta orang serta mencatatkan lebih 700,000 kes baharu sehari.
Tekanan semakin meningkat terhadap pimpinan Parti Komunis untuk mengambil iktibar daripada apa yang berlaku tetapi Beijing sehingga kini menafikan negara berkenaan adalah punca merebaknya Covid-19.
Ahli biokimia Amerika Syarikat, Milton Leitenberg meluahkan kebimbangan bahawa China akan ‘menularkan’ wabak lain dan pastinya tidak akan berlaku jujur dengan dunia andai ia berlaku sekali lagi.
China secara umumnya dikenali sebagai sebuah negara yang gemar melakukan pelbagai jenis penyelidikan berbahaya dan tidak beretika yang diharamkan di negara-negara Barat.
Sementara teka teki mengenai asal usul Covid-19 masih belum terjawab, para saintis dunia memohon larangan dikuatkuasakan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) terhadap penyelidikan berisiko.
“Kewujudan dan pertambahan pasar basah di China terus menjadi ancaman kemungkinan wabak baharu tercetus.
“Namun, ancaman lebih serius adalah hasil penyelidikan bioteknologi berisiko dengan virus patogen dan penciptaan virus chimeric baharu.
“Penyelidikan tidak beretika ini meningkatkan risiko penularan dan kadar kematian yang lebih tinggi terhadap manusia,” kata saintis Jerman, Dr. Roland Wiesendanger dari University Hamburg pula.
China juga merancang untuk membina tujuh lagi makmal keselamatan tinggi yang serupa dengan Institut Virologi Wuhan (WIV) menjelang 2025 dalam usaha menjadikan negara itu sebagai kuasa besar bioteknologi.
Wiesendanger berkata, saintis China kini giat melakukan eksperimen penelitian fungsi yang melibatkan membuat virus lebih mudah menular kepada manusia dan boleh mewujudkan jangkitan wabak baharu malah berpotensi membawa maut hingga 80 peratus. – Agensi