fbpx

Agong zahir rasa dukacita insiden perlanggaran tren LRT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al- Sultan Abdullah.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan terkejut dengan berita kemalangan membabitkan pelanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda mendoakan semoga semua mangsa kemalangan tersebut termasuk enam orang yang dilaporkan kritikal serta 15 lagi separa kritikal dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dikurniakan kesembuhan segera.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana kesemua penumpang dalam kemalangan tersebut telah dapat dikeluarkan dari tempat kejadian dan dibawa ke HKL dengan segera bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, katanya, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para petugas keselamatan dan kecemasan atas kepantasan serta kesungguhan mereka dalam usaha menyelamat dan merawat mangsa-mangsa kemalangan terbabit.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar pihak-pihak berkaitan memberikan keutamaan kepada mangsa-mangsa kemalangan, khususnya dalam bentuk rawatan menyeluruh dan kebajikan mereka.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar insiden tersebut dijadikan iktibar kepada semua pihak berkaitan untuk memastikan ia tidak berulang di masa hadapan bagi memastikan keselamatan para penumpang terjamin dan dipelihara dengan sebaiknya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI