BEAUFORT – Seramai 5,236 orang mangsa banjir Sabah daripada 1,397 keluarga masih berada di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan daerah Tenom dan Beaufort setakat pukul 10 pagi tadi.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, Tenom kekal daerah terbanyak merekodkan bilangan mangsa banjir ketika ini.
“Seramai 4,633 mangsa banjir daripadaa 1,242 keluarga masih berada di 34 PPS seluruh Tenom, manakala, jumlah penduduk terjejas banjir di daerah Beaufort juga kekal 603 mangsa melibatkan 155 keluarga.
“Semua mangsa banjir di daerah berkenaan kini berada di empat PPS iaitu Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Dewan Selagon, Dewan Residen serta Dewan Kesenian dan Kebudayaan Bisaya,” katanya.
Menurut jurucakap itu, walaupun jumlah mangsa banjir masih ramai namun terdapat beberapa lokasi yang sudah mula surut.-K! ONLINE