KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun adalah tidak munasabah kerana ia mencabul hak pengundi muda yang kini mencecah 1.2 juta orang menjelang Julai tahun ini.
Peguam Datuk S. Ambiga berhujah, hak mengundi golongan muda itu akan dinafikan jika kerajaan menangguhkan pelaksanaannya sehingga 1 September tahun depan seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hujah beliau, tindakan tersebut dilihat sebagai tidak rasional dan memalukan kerana hampir kesemua negara ASEAN (kecuali Malaysia dan Singapura) telah menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Ambiga mempertikaikan mengapa pelaksanaannya masih dilengahkan sedangkan pindaan had umur mengundi telah diluluskan di Parlimen pada 16 Julai 2019 dan mendapat sokongan yang memberangsangkan.
Hujahnya, SPR pernah memaklumkan bahawa sistem pendaftaran bagi pengundi 18 tahun berada atas landasan seperti yang dirancang, bagaimanapun badan itu mengeluarkan kenyataan yang bercanggah ketika menangguhkannya.
Sehubungan itu, beliau memohon agar mahkamah memberi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman dalam usaha mendapat pengisytiharan agar Undi 18 dijalankan secara automatik.
Mahkamah sedang mendengar permohonan 18 orang anak muda yang mewakili gerakan Undi18 untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan SPR.
Mereka menuntut perisytiharan mahkamah bahawa pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi menjelang Julai ini.
Sementara itu, seorang lagi peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar berhujah agar kebenaran diberikan bagi membolehkan pihak responden menjawab beberapa persoalan undang-undang yang sangat kritikal.
Hujah Gurdial, penangguhan itu terlalu lama dan tidak menentu yang mana ia hanya boleh dilaksanakan paling awal pada September tahun depan yang mana tindakan SPR itu perlu diteliti oleh mahkamah.
Dalam pada itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili pihak responden berhujah, beberapa akta berkaitan pilihan raya perlu dipinda terlebih dahulu sebelum kerajaan boleh melaksanakan had umur mengundi 18 tahun.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan 17 Jun ini bagi keputusan.K!ONLINE