fbpx

Suarez muncul wira julang Atletico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUAREZ (kanan) meledak gol kemenangan Atletico ketika menewaskan Valladolid 2-1 sekali gus muncul juara La Liga musim ini. – AFP

MADRID – Penyerang sensasi Atletico Madrid, Luis Suarez mengakui tidak dapat menahan sebak selepas berjaya muncul wira untuk membantu pasukan menamatkan kemarau penantian kejuaraan selepas muncul juara La Liga musim ini dengan menewaskan Real Valladolid 2-1 awal pagi semalam.

Sebagai rekod, Suarez telah ‘ditendang’ keluar oleh Barcelona kerana tiada dalam perancangan pengurus pasukan itu, Ronald Koeman sebelum menandata­ngani kontrak bersama pasukan Atletico musim lalu.

Pada aksi awal pagi semalam, penyerang antarabangsa Uruguay itu telah menjaringkan gol kemenangan buat pasukan kendalian Diego Simeone sekali gus menyaksikan jumlah jaringan keseluruhan dalam liga yang dilakukan sebanyak 21 gol musim ini.

Kata Suarez, apa yang dilalui sepanjang jendela perpindahan musim lepas cukup memalukan kerana dirinya memang sangat sayang dengan pasukan Barcelona tetapi terpaksa akur apabila khidmat sudah tidak lagi diperlukan.

“Atletico membuka pintu buat saya untuk berhijrah ke sini dan ini adalah salah satu penghargaan atau cara untuk saya membalas kepercayaan yang diberikan oleh mereka dengan membantu menjuarai liga musim ini,” katanya.

Sementara itu, Simeone me­ngakui pasukannya layak untuk muncul raja baharu bola sepak Sepanyol selepas beraksi lebih konsisten musim ini berban­ding pencabar-pencabar terdekat seperti Real Madrid dan Barcelona.

“Ia adalah musim yang sukar tetapi kami mendapat habuan secukupnya apabila berjaya muncul juara buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun. Malah, aksi kali ini sangat getir kerana pemain berdepan tekanan terutama apabila ketinggalan awal tetapi semangat juang pemain berjaya menghadiahkan tiga mata penuh buat pasukan,” katanya.

Atletico berjaya mengumpul 86 mata daripada 38 perlawanan dengan kelebihan dua mata berbanding Real yang terpaksa berpuas hati dengan status naib juara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI