PETALING JAYA – Empat individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sebuah pangsapuri sekitar Bandar Bukit Jalil, Cheras pada 16 Mei lalu.
Serbuan pada pukul 12.30 tengah hari itu telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, siasatan awal mendapati sindiket tersebut aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini.
“Kesemua suspek ditahan merupakan warga tempatan yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia 28 hingga 45 tahun. Mereka juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
“Semakan mendapati, kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952(2), Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menerusi serbuan terbabit, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM204,943 yang mampu dibekalkan kepada kira-kira 10,600 penagih dadah.
“Antara dadah yang dirampas ialah syabu seberat 5,182 gram (g), serbuk methylenedioxymethamphetamine(MDMA)(299.4 g), pil erimin 5(0.3g), pil ecstacy (5.7g) dan ketamin(0.6g).
“Kita juga telah merampas tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Mercedes Benz dianggarkan bernilai RM180,000, Honda City(RM18,000) dan Perodua Alza (RM25,000),” jelasnya.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat dan bagaimana sumber bekalan diperolehi.
“Kita percaya dengan tertangkapnya keempat-empat suspek, polis telah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan bagi pasaran Lembah Klang.
“Rampasan dadah bernilai RM204,943 manakala rampasan sitaan sebanyak RM223,058 dan rampasan wang tunai RM165 menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM428,166,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE