fbpx

Saring besar-besaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS kesihatan membuat saringan Covid-19 ke atas penduduk kampung Pulau Beluru di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru, Tumpat pada 22 Mei lalu. - ZULHANIFA SIDEK

PETALING JAYA – Kerajaan digesa untuk mengadakan saringan Covid-19 secara besar-besaran di seluruh negara bagi mengesan jangkitan awal virus itu terutama varian Afrika Selatan (B.1.351), United Kingdom (B.117) dan India (B.1.617.1).

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana kebanyakan pesakit Covid-19 melibatkan varian tersebut sukar dikesan simptomnya.

Menurutnya, lebih menakutkan apabila semua varian itu yang sudah berada di negara ini dikatakan mudah merebak dan lebih ganas kerana mampu menyebabkan kadar kematian yang lebih tinggi berbanding varian sedia ada.

“Varian-varian ini berkemungkinan menjadi antara punca kes jangkitan Covid-19 meningkat secara mendadak sehingga mencecah hampir 7,000 kes hari ini (semalam).

“Ketiga-tiga varian ini merebak secara senyap dan ia bukan sahaja menjangkiti warga emas, malah orang-orang muda sehingga menyebabkan kematian.

“Justeru, saya berpendapat saringan besar-besaran perlu dilakukan di seluruh negara seperti yang dilaksanakan di Selangor bagi mengesan golongan dijangkiti Covid-19, seterusnya merawat dan kuarantin pesakit,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Setakat 17 Mei lalu, sebanyak 66 kes jangkitan Covid-19 varian Afrika Selatan dikesan, manakala United Kingdom sebanyak lapan kes dan lima kes bagi varian India.

Malaysia mula mengesan kemunculan varian Covid-19 dari India hasil saringan yang dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang terhadap seorang warga India yang memasuki Malaysia pada April lalu.

Varian dari India ditakuti kerana pantas merebak dan lebih mudah dijangkiti. Mereka yang dijangkiti pula berisiko tinggi untuk mendapat gejala yang teruk sehingga terpaksa dirawat di unit rawatan rapi.

Varian Afrika Selatan pula tergolong dalam jenis varian yang membimbangkan kerana memiliki potensi untuk melepasi saringan Covid-19, manakala United Kingdom (B.117) pula merebak secara senyap.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, ujian saringan Covid-19 adalah sebahagian daripada strategi FTTIS iaitu Find, Test, Trace, Isolate dan Support.

“Jika kerajaan berhasrat melakukan saringan besar-besaran, mereka perlu meningkatkan sistem sokongan termasuk pendidikan kesihatan selain menggerakkan sumber yang mencukupi

“Jumlah kes yang tinggi akan merisaukan rakyat, bahkan perlu diwujudkan lebih banyak pusat kuarantin bagi golongan positif Covid-19.

“Sekarang ini kes dalam komuniti dilihat begitu banyak, melebihi angka rasmi. Sebahagian mereka langsung tidak bergejala.

“Ujian saringan besar-besaran disertai dengan pakej FTTIS adalah cara terbaik untuk kawal pandemik ini,” ujarnya.

Ketika ini, Kerajaan Negeri Selangor mengadakan program pengawasan bagi mengenal pasti kes aktif Covid-19 di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun depan.

Program saringan besar-besaran secara percuma itumemberi peluang kepada rakyat negeri itu yang berisiko, pernah menjadi kontak pesakit Covid-19, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka untuk melakukan pemeriksaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, pelaksanaan saringan Covid-19 secara percuma adalah antara penyumbang kepada jumlah kes positif yang tinggi di negeri itu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI