fbpx

Remaja mengaku salah pasang bunga api tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh yang juga remaja berusia 17 tahun ketika dibawa ke mahkamah pada Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasang bunga api tanpa kebenaran di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Sentul dua minggu lalu.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 7 September ini bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak remaja lelaki itu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, remaja tersebut didakwa telah memasang bunga api tanpa kebenaran yang sah di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul di sini pukul 12.50 pagi pada 13 Mei lalu yang didakwa mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil dan boleh dihukum dibawah akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 atau dipenjara maksimum satu bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding dilakukan secara tertutup berikutan tertuduh merupakan bawah umur, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM500 dengan seorang penjamin.

Majistret Nur Farahain Roslan kemudian membenarkan remaja yang tidak diwakili peguam tersebut diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.

Pada 15 Mei lalu media melaporkan empat individu yang juga pelajar sekolah ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kejadian melontar mercun ke arah anggota polis di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini.

Sebelum ini pada 13 Mei lalu Kosmo! Online melaporkan tular di media sosial apabila, tindakan polis menyuraikan kira-kira 200 individu yang berkumpul bertukar gempar apabila dibaling mercun oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam kejadian di Pangsapuri Sri Perak.

Pada Jumaat lalu, seorang bapa tiga anak yang dikaitkan dengan insiden yang sama didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki pelbagai jenis mercun di rumahnya di salah sebuah unit pangsapuri berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI