PETALING JAYA – Tindakan kerajaan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat sama ada yang menyokong atau mempersoalkan kewajaran syarat baharu itu.
Rata-rata mereka berbelah bahagi mengapa kerajaan tidak mengenakan total lockdown memandangkan jangkitan Covid-19 semakin tinggi menghampiri 7,000 kes sehari hingga mengakibatkan angka kematian turut meningkat kepada 50 orang.
Semalam, statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan kes jangkitan harian Covid-19 mencecah 6,976 iaitu yang tertinggi pernah direkodkan sepanjang pandemik di negara ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ciapan di Twitter mahu supaya SOP terkini harus dijelaskan dengan data.
“SOP yang diperketat harus dijelaskan dengan data dan sains. Sebagai contoh, bagaimana dengan memotong waktu operasi kedai makan dapat mengurangkan kadar kebolehan jangkitan?
“Pada pendapat saya, ia hanya akan menambah kesesakan, membebankan para peniaga dan juga penghantar makanan,” ciapnya selepas melihat SOP untuk PKP 3.0 yang diumumkan kelmarin.
Seorang pengguna Twitter, @watahhhh menyatakan kekecewaannya apabila kerajaan hanya mengumumkan mengenai SOP yang diperketatkan.
“Hari demi hari, keadaan Covid-19 di negara ini semakin teruk. Tetapi, pihak kerajaan hanya umum tentang SOP diperketatkan? Ramai pesakit telah meninggal,” ciapnya.
Namun, ada di antara mereka yang akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan.
“Nak atau tidak, kita sebagai masyarakat perlu ikut apa yang telah ditetapkan. Kita juga kena fikir untuk diri sendiri dan juga keluarga. Sama-sama kita lawan! Insha-Allah,” ciap @AsyraafSazali.
Tambah seorang pengguna laman Twitter, @Owen2587526569, berkata, saya tidak rasa apa yang dilakukan oleh kerajaan akan membawa isu yang serius kepada rakyat.
“Kita sebagai rakyat perlu pandang ke sudut yang lebih positif.
“Ia pasti dapat kurangkan jumlah mereka yang keluar selepas pukul 8 malam. Kita patut terima langkah yang diusulkan oleh kerajaan,” jelasnya.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu beberapa SOP telah diperketatkan sepanjang PKP 3.0.
Antara SOP itu termasuk 80 peratus atau lebih 750,000 kakitangan awam akan bekerja dari rumah dan 40 peratus atau 6.1 juta pekerja swasta turut diarahkan berbuat perkara yang sama.
Selain itu, operasi semua premis perniagaan akan dihadkan bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam bermula Selasa ini.
Namun, Ismail Sabri menjelaskan, pelaksanaan PKP bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi, malah turut menjejaskan kesihatan mental kepada rakyat.
“Sepanjang PKP 1.0, banyak kes bunuh diri dilaporkan, namun ia tidak dihebohkan. Ramai yang menghadapi masalah mental ketika itu.
“Jadi inilah yang kita lakukan supaya rakyat tidak terlalu menderita,” katanya pada sidang akhbar itu kelmarin. -K! ONLINE