GEORGE TOWN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menangguhkan permohonan kebenaran berkahwin di negeri itu mulai esok sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah JHEAIPP, Mohd. Zakuan Zakaria berkata, hanya akad nikah bagi pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin akan dibenarkan mengikut jadual yang diberikan.
Katanya, selain itu, majlis akad nikah dibenarkan dilakukan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja, manakala tempoh pelaksanaan majlis akad nikah tidak boleh melebihi 30 minit.
“Permohonan kebenaran kahwin, pendaftaran nikah, cerai dan rujuk ditangguhkan bermula esok sehingga satu tarikh dimaklumkan kelak.
“Bagi permohonan cabutan sijil perakuan nikah, cerai dan rujuk pula dibuka, namun perlu melalui proses temu janji terlebih dahulu dengan PAID yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bayaran bagi cabutan sijil perakuan nikah, cerai, rujuk serta kursus pra perkahwinan hanya diterima pada hari Isnin dan Rabu bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang sepanjang PKP.
“Perkhidmatan khidmat nasihat dibuat secara online menerusi e-mel serta panggilan telefon.
“Semua kursus pra perkahwinan secara bersemuka ditangguhkan manakala temuduga khas bagi menggantikan kursus pra perkahwinan dibuka secara dalam talian,” katanya.
Pendaftaran berkenaan boleh dibuat menerusi laman sesawang http: //emunakahat.penang.gov.my. – K! ONLINE