PETALING JAYA – Projek kondominium yang terletak berhampiran Bukit Ampang dan Hutan Simpan Hulu Langat, Brezza One Residency telah mendapat sambutan baik daripada pembeli yang mengambil berat tentang keseimbangan antara kehidupan kota dan alam semula jadi.
Pembangunan empat blok kediaman atas tanah seluas 1.84 hektar itu menawarkan 666 unit rumah berkeluasan antara 1,073 dan 1,953 kaki persegi (99.68 – 181.4 meter persegi) dengan harga jualan bermula RM654,800.
Blok A dan B, yang dilancarkan pada suku keempat 2019 masing-masing memiliki kadar pengambilan 96 peratus dan 92 peratus manakala blok C dan D, dilancarkan pada suku pertama 2021 telah mencapai kadar pengambilan 55 peratus dan 76 peratus.
Pemaju projek berkenaan, Setia Awan Group berkata, Brezza One Residency dengan nilai pembangunan kasar RM527 juta tidak hanya menawarkan gabungan terbaik alam sekitar dan kehidupan urban, malah kemudahan akses menerusi Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
“Kondominium ini terletak hanya 10 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur dan berhampiran pelbagai kemudahan lain, termasuk sekolah rendah dan menengah, universiti, pasar raya besar, kelab golf, pengangkutan awam dan pusat beli-belah.
“Kesemua kemudahan ini mudah diakses dan berada dalam jarak 5 km,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Membawa misi menjadikan pemilikan rumah lebih berpatutan, Setia Awan bakal melancarkan Astrum Ampang, projek pembangunan bercampur seluas 2.73 hektar di sekitar Jalan Ampang dan Jalan Jelatek.
Menggunakan konsep transit SOHO (small office home office) yang pertama seumpamanya di negara ini, projek Astrum Ampang ditawarkan bermula RM230,000 seunit.