JAKARTA – Sebuah pesawat Batik Air yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali, melanggar sebuah jejantas yang menghubungkan pintu masuk pesawat dengan balai pelepasan, lapor portal Coconut hari ini.
Menurut laporan, akibat pelanggaran tersebut, sayap kiri pesawat itu mengalami kerosakan kecil selain jejantas tersebut turut rosak sedikit, namun masih beroperasi.
“Kira-kira pukul 9.30 pagi kelmarin, pesawat Batik Air itu telah pun berhenti sepenuhnya. Namun, secara tiba-tiba pesawat bergerak ke hadapan yang menyebabkannya berlanggar dengan jejantas tersebut.
“Ketika itu, para penumpang masih belum turun dari pesawat dan sedang menanti pengumuman untuk meninggalkan pesawat,” kata Pengurus Komunikasi dan Undang-Undang PT Angkasa Pura I, Taufan Yudhistira.
PT Angkasa Pura I merupakan syarikat yang mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.
Sementara itu, Ketua Polis Denpasar, Avitus Panjaitan berkata, pesawat tersebut bergerak ke hadapan kira-kira empat ke enam meter meskipun selepas juruterbang membuat pengesahan kepada kru darat bahawa ia telah berhenti sepenuhnya.
Pesawat dengan kod penerbangan ID 6505 yang berlepas dari Jakarta itu membawa 119 penumpang dan empat kru penerbangan.
Difahamkan, pesawat itu kini ditahan seketika bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa lapangan terbang untuk menjalankan siasatan.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu. – AGENSI