fbpx

Penutupan kilang proses ayam di Melaka tidak jejas bekalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Penutupan kilang memproses ayam di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, Melaka akibat penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja baru-baru ini, tidak menjejaskan bekalan ayam.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna berkaitan bekalan ayam di pasaran malah bekalan semasa ayam di pasaran adalah mencukupi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, ayam-ayam yang diproses daripada kilang itu diedarkan melalui pasar raya besar, pasar raya, restoran dan premis-premis runcit terpilih sahaja.

“Tiada bekalan ayam proses dan produk berasaskan ayam diedarkan dari syarikat ini kepada pasar-pasar basah,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Azman berkata, untuk meminimumkan kesan penutupan operasi, pihak syarikat akan mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada kilang-kilang di bawah rangkaian syarikat sama bagi menjamin kesinambungan produk di dalam pasaran.

“Bagaimanapun, pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan keberadaan dan kestabilan bekalan termasuk ayam,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pihak kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mungkin menggunakan isu itu untuk menaikkan harga yang tidak munasabah.

Terdahulu, sebuah kilang memproses ayam terbesar di Masjid Tanah, Melaka diarah menghentikan operasi sehingga 4 Jun depan berikutan 175 pekerjanya yang kebanyakan adalah warga asing disahkan positif Covid-19. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI