LUMUT – Gara-gara motosikal kehabisan minyak ketika dalam perjalanan menziarahi kubur ibunya, menjadi punca seorang lelaki melarikan sebuah kereta Perodua Bezza bersama seorang kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Seri Manjung, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata,
siasatan lanjut ke atas suspek mendapati tiada motif sebenar atas perbuatannya itu.
“Semasa kejadian, suspek berada di dalam pengaruh dadah.
“Dia menyatakan menaiki motorsikal milik jirannya dengan tujuan menziarahi pusara ibunya di Bota dan telah meninggalkan motosikal tersebut kerana kehabisan minyak di kawasan berdekatan Pasaraya TF, Seri Manjung,” katanya di sini hari ini.
Menurut Nor Omar, suspek kemudian telah berjalan kaki sehinggalah terjumpa dengan sebuah kereta yang dalam keadaan enjin dihidupkan dan membawa lari kereta tersebut untuk pergi ke Bota.
Namun begitu, katanya, sewaktu di dalam kereta itu, suspek menyedari terdapat seorang kanak-kanak perempuan berada di dalam kereta tersebut.
Jelasnya, kanak-kanak tersebut telah memberontak di dalam kereta supaya menghantarnya semula ke tempat asal dan suspek telah berpatah balik ke tempat dia mengambil kereta tersebut.
Setibanya di sana, orang awam telah menahan suspek dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Suspek yang direman selama empat hari sehingga hari ini telah disambung reman sehingga Rabu ini.
“Kes ini akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” jelasnya.
Khamis lalu, media melaporkan seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila kereta miliknya bersama seorang anak perempuan, yang ditinggalkan di depan premis perniagaan di Seri Manjung dilarikan seorang penagih dadah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, wanita tersebut meninggalkan anak perempuannya berumur 12 tahun di dalam kereta dalam keadaan enjin dan penghawa dingin dihidupkan serta tidak berkunci, untuk membeli barang di kedai haiwan di kawasan Seri Manjung.
Suspek bagaimanapun berjaya diberkas oleh orang ramai yang nelihat kejadian itu manakala kanak-kanak itu selamat dan tidak mengalami kecederaan. -K! ONLINE