JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika mencari ketam di kawasan paya Kampung Melayu Dapur Arang, Gelang Patah, dekat sini Jumaat lalu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) negeri menerima maklumat tentang kejadian itu pada pukul 5.37 petang semalam menerusi panggilan kecemasan ke Pusat Gerakan Operasi (PGO).
Susulan menerima panggilan tersebut, sebuah jentera FRT dari BBP Iskandar Puteri dengan kekuatan keseluruhan seramai lapan anggota telah dihantar ke tempat kejadian.
Komander Operasi, Mohd. Khairi Zainuddin berkata, identiti mangsa yang dilaporkan hilang sudah dikenal pasti iaitu Zulkifli Amin yang berusia 56 tahun.
Katanya, mangsa dipercayai hilang ketika mencari ketam pada Jumaat lalu di kawasan paya tetapi laporan kehilangan telah dibuat semalam.
“Tindakan awal operasi ialah dengan membuat pencarian di sekitar kawasan yang dipercayai mangsa hilang menggunakan dron persendirian milik anggota bomba dan menyusur sungai untuk mengesan jejak mangsa.
“Usaha itu menemui jalan buntu dan diteruskan pada pagi ini bermula pukul 7.30 pagi. Operasi pencarian pada hari ini akan dibantu oleh unit K9 JBPM dan Unit PPDA JBPM Negeri Johor,” katanya.-K! ONLINE