LANGKAWI – Seorang lelaki ditemui mati di dalam sebuah kereta yang diparkir di atas bukit di Jalan Bukit Malut di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat di dalam kereta jenis Proton Saga daripada orang awam kira-kira pukul 11.45 pagi.
“Pihak polis dan ambulans terus bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati terdapat satu mayat dipercayai lelaki di tempat duduk pemandu dalam keadaan semua tingkap bertutup dan pintu kereta berkunci,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pihak bomba dipanggil untuk membuka pintu kereta yang berkunci.
“Mangsa dipercayai membunuh diri dengan cara menyambung paip getah dari ekzos ke dalam kereta.
“Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai meninggal dunia sejak lebih lima hari lalu,” ujarnya.
Menurut Shariman, pihaknya menemui beberapa barangan peribadi dipercayai milik mangsa termasuk komputer riba, telefon bimbit, beberapa dokumen dan satu nota di atas papan pemuka kereta bertulis ‘do not resuscitate’.
“Identiti mangsa sedang dikenal pasti dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha di sini untuk bedah siasat,” jelasnya.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE