SHAH ALAM – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bakal melaksanakan program outreach
suntikan vaksin Covid-19 kepada golongan tercicir di negeri itu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, ia dilaksanakan selepas mengambil kira
sebahagian penduduk negeri itu yang tinggal di kawasan pedalaman serta tidak mempunyai kenderaan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Cadangan program ini telah diberikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan sekiranya tiada halangan akan dijalankan pada minggu depan.
“Kita turut mengesyorkan agar klinik-klinik kesihatan sedia ada di negeri ini digunakan sebagai PPV dalam mempercepatkan proses imunisasi vaksin Covid-19,” katanya selepas melawat PPV AstraZeneca di Ideal Convenction Centre Shah Alam (IDCC) di sini, hari ini.
Berdasarkan statistik kes harian Covid-19 yang dikeluarkan hari ini mendapati Selangor masih lagi menjadi negeri yang mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu sebanyak 2,049 kes.
Dalam perkembangan berlainan, Sha’ari memberitahu, bilangan petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) akan ditambah untuk merawat pesakit Covid-19 di situ.
Tambah Sha’ari, katil dan peralatan juga akan ditambah dalam menampung keperluan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di beberapa buah hospital kerajaan di negeri ini.
“Kita sedang berbincang dengan pihak Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam serta beberapa buah hospital swasta lain supaya mereka boleh mengambil kes pesakit bukan Covid-19,” ujarnya. -K!ONLINE