fbpx

Kayu ‘okey’ jika berdisplin – Fasha Sandha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FASHA SANDHA

SELAMA tempoh 16 tahun dalam industri, katakanlah apa sahaja baik dari segi pengalaman mahupun pasang surut karier, semuanya sudah dihadam lumat si aktres jelita Fasha Sandha.

Segala pencapaian dan sepak terajang yang dilalui menjadikan Fasha antara pelakon wanita tempatan berkaliber milik sinema tempatan.

Statusnya sebagai artis senior juga cukup melayakkan dirinya diajak berkongsi pandangan berhubung isu yang pernah menggoncang dunia hiburan, iaitu polemik kemunculan golongan pensohor media sosial atau influencer yang semakin galak memenuhi lokasi penggambaran ketika ini.

Awalnya, aktres berusia 37 itu membumi sambil mengakui tidak mahir memberi pandangan terhadap isu berkenaan, namun titipan yang dilontarkannya berisi makna untuk diteladani.

Kata pemilik nama lengkap Nur Fasha Sandha Hassan itu lagi, tidak salah sekiranya golongan pensohor media sosial diberikan peluang menjadi pelakon.

Namun akuinya, golongan tersebut perlu pandai membawa diri, menjaga disiplin dan selalu ada niat untuk belajar serta menimba ilmu lakonan.

“Tak salah beri peluang kepada mereka untuk jadi pelakon. Sebab saya pun dahulu pernah jadi ‘kayu’. Pernah juga hanya baca dialog tanpa ada emosi.

“Saya pernah berada di tempat tersebut. Jadi, setiap hari di lokasi penggambaran ialah sesi pembelajaran buat saya.

“Penting untuk sematkan dalam hati jangan ada rasa bangga diri. Sentiasalah rendah diri dan belajar. Saya yakin mereka akan diterima baik oleh industri,” katanya.

MENGAKUI paranoid dan trauma untuk keluar rumah disebabkan pandemik Covid-19, Fasha sangat menjaga keselamatan keluarganya sehingga kebanyakan barangan keperluan dibeli secara dalam talian.

Pengajaran

Berkongsi nasihat dan sedikit tip kepada pendatang baharu, pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa itu berkata, pelakon baharu perlu belajar daripada artis senior ataupun guru lakonan.

“Ilmu takkan pernah putus sampai bila-bila. Jadi kalau ada masa terluang, masuklah kelas lakonan. Tingkatkan mutu lakonan supaya orang takkan gelar kita ‘kayu’ selama-lamanya.

“Meskipun sudah 16 tahun dalam industri, saya masih masuk kelas lakonan dan belajar. Memang benar, kalau tiada yang baharu, maka tiadalah yang lama. Kita semua saling memerlukan antara satu sama lain,” ujarnya lagi.

Fasha yang dihubungi menerusi panggilan telefon baru-baru ini diajak berbicara tentang perkembangan terkini yang menyaksikan kemunculannya menerusi drama bersiri berjudul Scammer terbitan Radius One Sdn. Bhd.

Naskhah berkisarkan isu pengubahan wang haram arahan Norhanisham Muhammad berkenaan mula ditayangkan hari ini menerusi saluran Astro First dan menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Kamal Adli, Siti Saleha, Arash Mohd., Jay Iswazir, Didie Alias, Hasnul Rahman dan ramai lagi.

SALING bergantungan, Fasha menyambut baik peluang yang diberikan kepada golongan artis muda untuk mencuba nasib dalam industri, cuma jangan datang dengan tangan kosong sebaliknya penuhilah dengan disiplin tinggi dan ilmu di dada.

Menerusi drama berkenaan, memegang watak Nisa, anak kepada seorang hartawan bernama Tuan Azman (lakonan Arash). Dia juga isteri kepada Joe (Kamal) yang sedang hamil.

Mengulas lanjut tentang penglibatan dalam drama genre aksi tersebut, pelakon beranak tiga itu menyifatkan naskhah berkenaan menampilkan banyak kelainan berbanding watak lakonan sebelum ini.

“Nisa seorang yang periang tetapi agak emosional sebab sedang hamil. Jangka waktu cerita ini singkat, jadi dari awal hingga menghampiri penghujung saya memang ‘membawa’ perut.

“Ini merupakan kali pertama saya bawa watak wanita hamil dari awal sampai habis cerita. Cabarannya dari segi emosi sebab awal-awal, dia gembira kerana hamil.

“Kemudian emosi bertukar apabila dapat tahu suaminya berhenti kerja tanpa pengetahuannya,” ujarnya yang mengakui seronok menjalin kerjasama dengan pelakon hebat dan berdisiplin seperti Kamal dan Siti Saleha.

Sebagai pelakon, Fasha menyifatkan naskhah tersebut bukan sekadar hiburan bahkan cukup sarat pengajaran buat penonton.

“Saya banyak belajar isu pengubahan wang haram daripada skrip. Dari situ, baru saya tahu tentang perkara tersebut dengan mendalam.

“Sebagai pelakon, saya juga meletakkan diri selaku penonton dan mendapati cerita ini banyak pengajaran yang boleh diambil teladan.

“Paling penting, jangan mudah percaya kepada orang lain. Jangan mudah tertipu.

“Sebab dunia sekarang sukar diramal terutamanya menerusi panggilan telefon. Selidik dahulu dan jangan mudah menyerahkan segala-galanya kepada orang lain, terutama yang tidak dikenali,” ujarnya yang menjalani penggambaran drama tersebut pada Ramadan lalu.

KALI kedua digandingkan dengan Kamal dalam naskhah drama, Fasha bersyukur kerana berpasangan dengan rakan pelakon yang hebat dan menjaga komitmen ketika di set penggambaran.

Anak, PKP

Mengalih perhatian aktres drama Patah Sayap Bertongkat Paruh itu terhadap cerita keluarganya yang kini diwarnai dengan kehadiran si comel Aisha Amaira, bersulam rasa bahagia mengisi perbualan.

Meskipun sibuk dengan lakonan, Fasha tetap mencuri ruang untuk menyeimbangi dua dunia yang penting dalam hidupnya iaitu kerja dan keluarga.

Bagaimanapun, situasi semasa negara yang masih berperang dengan Covid-19 sehingga membuatkan anak-anak menjalani sesi pembelajaran dari rumah (PdPR) turut memberi cabaran buat Fasha untuk menguruskan persekolahan dua anaknya iaitu Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima.

“Mula-mula, anak saya susah untuk fokus terutamanya Jemaima. Jadi saya memang kena pantau kalau ada di rumah. Tetapi sebagai ibu, saya faham kesukaran itu sebab mereka masih budak-budak dan rutin ini sangat baru untuk mereka sesuaikan diri.

“Alhamdulillah, selepas setahun pandemik melanda, mereka nampaknya sudah boleh belajar dengan baik. Apa pun, saya tetap bersyukur sebab kalau bukan PKP, tidak tahu apa kelemahan anak-anak.

“Saya banyak beri perhatian kepada kelemahan anak-anak. Mereka dah boleh fokus bila belajar walaupun kena ada saya di depan mata. Kadang-kadang terpaksa jadi singa, kalau tak mereka tak fokus,” ujarnya ketawa.

SEMPURNA. Fasha mengakui belum bersedia menambah bilangan cahaya mata memandangkan Aisha Amaira masih kecil.

Menyentuh soal anak bongsu, si comel Aisha yang sudah berusia sembilan bulan, Fasha memanjatkan rasa syukur tidak terhingga kerana dikurniakan seorang cahaya mata yang bijak dan mudah diuruskan.

Kata Fasha, Aisha seperti sangat memahami dirinya yang kadangkala sibuk bekerja.

“Kerja tetap jalan tetapi saya ada hadkan masa setiap hari untuk habiskan tugas sehingga 11 malam sahaja. Tetapi sejak pelaksanaan PKP, semua sesi penggambaran ditamatkan awal sehingga pukul 10 malam. Jadi saya boleh balik awal. Sebab Aisha masih menyusu badan,” katanya.

Keletah comel si manjanya itu juga kerap mendapat perhatian luar biasa peminat yang rata-ratanya memuji Aisha.

Untuk itu, tidak mustahil jika anak kecil itu diburu mana-mana jenama untuk menagih wajah comelnya sebagai duta.

Tidak menafikan menerima banyak tawaran untuk si kecilnya, namun baik Fasha mahupun suaminya Aidil Aziz, mereka sepakat menolak semua tawaran memandangkan masih terlalu awal untuk Aisha terdedah dengan pekerjaan.

“Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang yang tak selamat, jadi Aidil tak izinkan Aisha berada di luar. Buat masa ini, kami putuskan untuk tak terima apa jua jenis lamaran untuknya sehingga mungkin usianya nanti mencecah 12 bulan.

“Tak mahulah dia bekerja buat masa ini. Kasihan kepada anak. Sama juga dengan Jemaima. Bapa dia, Rizal Ahsram Ramli tak benarkan dia bekerja dalam bidang seni. Jadi, saya kena hormati keputusan itu. Dalam keadaan pandemik sekarang, lebih baik duduk di rumah, jaga keluarga dan diri,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI