fbpx

Kakitangan Kada maut, motosikal bertembung kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Motosikal yang dinaiki mangsa (kiri) dan sebuah kereta remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Chekok, Jalan Kemubu, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Seorang kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Chekok, Jalan Kemubu, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi, mangsa, Mohd. Fathil Mohamad, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan mendapati, mangsa sedang menunggang motosikal jenis Honda AFS sedang melalui jalan itu untuk pulang ke rumahnya di Kuarters Pam Kemubu, Ketereh di sini.

Katanya, pada masa sama sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu oleh seorang lelaki berusia 47 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Gondang, Pulai Chondong ke Kampung Serendah, Kedai Piah di sini.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai keluar secara tiba-tiba dari kawasan simpang.

“Insiden itu menyebabkan kereta tersebut tidak sempat mengelak sebelum bertembung motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Abdul Rahim, kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Abdul Rahim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI