ALOR SETAR – Peniaga di Pasar Besar Alor Setar di sini resah apabila jualan menurun lebih 50 peratus berikutan kekurangan pengunjung gara-gara penularan maklumat palsu kononnya terdapat puluhan kes positif di pasar tersebut, sejak minggu lalu.
Rata-rata peniaga yang ditemui memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kota Setar juga mengakibatkan jualan di situ terjejas.
Peniaga dikatakan terpaksa menutup gerai lebih awal iaitu kira-kira pukul 11 pagi berbanding 1 tengah hari pada hari biasa.
Peniaga sayur, Mawardin Taha, 51, bimbang apabila jualannya menurun lebih 50 peratus berikutan ketiadaan pelanggan.
“Beberapa pelanggan tetap saya yang berniaga di kedai makan tidak lagi mengambil bekalan sayur seperti biasa kerana mereka menutup operasi kedai sepanjang PKPD ini.
“Pada hari biasa saya mampu menjual sayur sawi lebih 60 kilogram (kg) tetapi sejak PKPD, hanya 20 kg sahaja terjual,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, sayur hanya mampu bertahan kira-kira dua hari menyebabkan dia perlu menurunkan harga bagi menghabiskan bekalan.
Peniaga ayam, Muhamad Zuhair, 27, pula berkata dia hanya menjual ayam pada harga RM7.50 sekilogram.
“Kami perlu menghabiskan bekalan ayam untuk memastikan ia kekal segar berikutan kekurangan pelanggan di sini,” katanya. -K! ONLINE