fbpx

Jakim teliti maklumat berkaitan syarikat Atomy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syarikat Atomy yang didakwa menyokong aktiviti dakwah Kristian.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan bahawa beberapa perbincangan dan tindakan telah dilaksanakan bagi mengumpul maklumat-maklumat berkaitan dengan kerjasama pelbagai pihak berhubung syarikat Atomy.

Menerusi kenyataan akhbar hari ini, Jakim menegaskan bahawa sebarang bentuk kenyataan yang dibuat mengenai pihak lain perlu melalui beberapa peringkat penyelidikan dan kajian yang mendalam serta bukti kukuh.

“Justeru, Jakim sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti pakar dalam bidang muamalat, akidah dan agensi berkaitan seperti Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melaksanakan kajian yang berkaitan.

“Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan agar mendapatkan maklumat tepat dari pihak berautoriti sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali Ke-118 yang bersidang pada 16 hingga 17 Februari lalu membincangkan kertas ‘Pandangan Hukum Berkenaan Perniagaan Yang Menyumbang Kepada Gerakan AntiIslam’.

Jelasnya lagi, muzakarah telah membuat ketetapan bahawa kajian lanjut perlu dilaksanakan kerana ianya melibatkan banyak pihak.

Sebelum ini, seorang individu dikenali sebagai Mohd. Fadli Salleh membangkitkan isu berkaitan syarikat itu menerusi hantaran di laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Dia meminta supaya Jakim memberi kenyataan yang jelas mengenai syarikat Atomy yang didakwa menyokong aktiviti Kristianisasi.

Dia juga mahu ketetapan dibuat segera bagi mengelak lebih ramai orang awam khususnya umat Islam terbabit dengan syarikat berkenaan. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI