PETALING JAYA – “Saya akan berikan kerjasama penuh kepada pihak polis.”
Itu respons selebriti sensasi, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 32, mengenai isu pemakaian niqab tanpa pelitup muka di Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menurut pemilik jenama tudung Naelofar itu, dia turut bersyukur semua proses siasatan berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah proses berjalan dengan lancar. Tidak banyak yang saya boleh ulas tentang hal ini memandangkan kes masih lagi dalam siasatan.
“Insya-Allah jika ada perkembangan, pihak saya dan polis akan maklumkan. Terima kasih,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Sementara itu, menurut pengurusnya, Shawn Amer, Neelofa baru sahaja selesai memberikan keterangan kepada pihak polis berkaitan isu pemakaian niqab tanpa pelitup muka di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban hari ini.
Pada 20 Mei lalu, Kosmo! Online melaporkan Neelofa dan suami, Haris Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet di Nilai 3 pada 2 Mei lalu.
Bagaimanapun, kehadirannya di mahkamah tersebut mencetuskan satu lagi kontroversi selepas dilihat hadir tanpa pemakaian pelitup muka meskipun berniqab.
Selain itu, Neelofa juga dikatakan menjadi punca tercetusnya sindiran netizen dalam media sosial semalam yang mendakwa lokasi beli-belah Nilai 3 kini terletak di dalam negeri Selangor.
Sindiran tersebut tercetus selepas ramai yang mempersoalkan mengapa pasangan selebriti itu tidak didakwa atas kesalahan rentas negeri dari Kuala Lumpur ke Negeri Sembilan.
Disebabkan hal itu juga, ketelusan dan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipersoalkan oleh segelintir netizen dalam media sosial.
Secara tidak langsung, gurauan dan persendaan netizen seolah-oleh menjatuhkan reputasi PDRM di mata masyarakat.
Terdahulu, Neelofa, suaminya, Haris Ismail dan beberapa ahli keluarga terpalit dengan beberapa kontroversi pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan isu rentas negeri, ziarah raya dan pemakaian pelitup muka di tempat awam. – K! ONLINE