TURIN – Gergasi Itali, Juventus kini mengalihkan tumpuan kepada penyerang sensasi Barcelona, Antoine Griezmann sebagai sasaran terbaharu dalam jendela perpindahan pemain yang akan kembali dibuka 9 Jun ini.
The Old Lady merasakan Griezmann, 30, sebagai pilihan tepat menggantikan tempat Cristiano Ronaldo sekiranya pemenang lima Ballon d’Or itu meninggalkan skuad bimbingan Andrea Pirlo itu musim depan.
Barcelona juga dikatakan sedia menjual khidmat penyerang Perancis itu yang sehingga kini masih gagal mencapai jangkaan ditetapkan selepas menyertai mereka daripada Atletico Madrid dengan harga €120 juta (RM605.25 juta) pada 2019.
Penjualan bekas pemain Real Sociedad itu dilihat mampu membantu meringankan beban hutang The Catalan yang dikatakan sudahpun mencecah nilai £1 bilion (RM5.86 bilion).
Dalam masa sama, Barcelona terpaksa menerima hakikat nilai semasa Griezmann sudah jatuh kepada €80 juta (RM403.50 juta) meskipun berjaya meledak gol tunggal menewaskan Eibar 1-0 pada aksi terakhir La Liga awal pagi semalam.
Kemenangan itu tidak membawa sebarang makna buat skuad bimbingan Ronald Koeman tersebut yang sekali lagi gagal menjulang trofi La Liga sejak musim 2018/2019 apabila menamatkan musim ini pada kedudukan ketiga.
Bagaimanapun, Juventus dipercayai tidak mahu membeli Griezman secara tetap, sebaliknya hanya mahu meminjam khidmatnya dalam urusan pertukaran pemain dengan memberikan penyerang Argentina, Paulo Dybala kepada Barcelona. – AGENSI