KUCHING – Premis makanan tidak dibenarkan menyediakan makanan menggunakan ‘in-house utensils’ (set kutleri premis) berserta dulang untuk pelanggan ‘dine in’ di dalam kenderaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, hal ini kerana ia bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Perkhidmatan menghantar makanan secara hidangan kepada pelanggan untuk makan dalam kenderaan mereka atau kenderaan yang disediakan oleh premis adalah tidak mematuhi SOP, yang dibenarkan adalah ‘take-away’ (bawa pulang).
“Premis makanan yang terus menyediakan perkhidmatan itu akan dikompaun kerana melanggar peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa pengusaha premis makanan di Sarawak yang menyediakan layanan dine-in di dalam kenderaan sebagai inisiatif untuk meningkatkan sambutan pelanggan.
Tambahnya, sebuah premis makanan di Miri dikompaun pada Jumaat lalu kerana menyediakan perkhidmatan tersebut.
“Pengusaha premis memberi alasan mereka tak tahu, tetapi tidak berusaha untuk menyemak hal itu dengan pihak berkuasa tempatan. Oleh itu, saya ingin menasihatkan premis-premis lain untuk menghentikan layanan dine-in dalam kenderaan.
“Ia tidak menjadi satu kesalahan dan tidak ada kompaun yang akan dikeluarkan jika pelanggan memesan makanan secara ‘take-away’ dan makan di dalam kenderaan mereka sendiri tanpa perkhidmatan layanan pelanggan iaitu tanpa pekerja premis menghantar hidangan ke kenderaan dan mengutip balik bekas makanan,” jelasnya.
Garis panduan SOP terkini hanya membenarkan premis makanan untuk beroperasi dengan menyediakan perkhidmatan ‘take-away’ (bawa pulang), ‘drive-through’ (pandu lalu) dan ‘delivery’ (penghantaran) sepanjang tempoh PKPB. – K! ONLINE