KLANG – Keasyikan dua ahli sindiket sedang memunggah 227 karton rokok seludup dari sebuah treler
tidak bertahan lama apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah premis di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, di sini semalam.
Serbuan menerusi Op Kontraban dijalankan sepasukan pegawai dan anggota cawangan Risik Briged Tengah PGA pukul 7 petang itu menahan kedua-dua suspek berusia 28 dan 31 tahun.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, siasatan awal mendapati treler itu baharu tiba dengan dua suspek berkenaan sedang memunggah rokok jenama Zon King itu ke dalam premis tersebut.
Katanya, berdasarkan siasatan awal sindiket tersebut telah beroperasi kira-kira enam bulan lalu.
“Setiap kotak rokok seludup yang mengandungi 50 karton itu dipercayai untuk pasaran sekitar daerah ini, Shah Alam dan Kuala Selangor.
“Kita turut merampas treler berkenaan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM2.74 juta dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk upah diterima oleh dua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan berlainan, Muhammad menjelaskan pihaknya telah berjaya melakukan 56 serbuan Op Kontraban di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bermula 1 Januari hingga semalam.
Ujarnya, antara barangan dirampas termasuk rokok, minuman keras, dadah, mercun, beras dan kenderaan dengan keseluruhan rampasan dianggarkan RM35.4 juta.
“Kita juga berjaya menangkap 126 suspek berusia 23 hingga 64 tahun yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan tersebut,” katanya. – K!ONLINE