PETALING JAYA – Seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang juga dalang utama aktiviti perjudian ditahan dalam satu serbuan di sekitar Bukit Segar, Cheras pada 20 Mei lalu.
Difahamkan, suspek berusia 55 tahun yang ditahan di rumahnya itu aktif menjalankan aktiviti perjudian sejak awal tahun ini dan mampu meraih keuntungan sehingga RM30,000 sehari.
Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM579,001, tiga jam tangan bernilai RM238,000; tujuh jongkong emas dan loket (RM58,250) serta tiga kenderaan mewah (RM1,215,000 juta) menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM2,090,251 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pada 17 Mei lalu kira-kira pukul 6.30 petang, polis telah membuat serbuan di sebuah premis di sekitar Jalan Pudu.
“Menerusi serbuan terbabit, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah menahan enam lelaki warga Bangladesh dan Myanmar yang sedang leka berjudi.
“Polis turut menahan tiga lagi individu yang terdiri daripada dua lelaki warga Bangladesh dan Myanmar serta seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis berkenaan,” katanya ketika sidang akhbar di IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, polis turut merampas pelbagai peralatan perjudian seperti alat kawalan perjudian(16), set komputer perjudian (4) dan wang tunai berjumlah RM10,213.
“Susulan operasi terbabit, polis turut membuat beberapa siri tangkapan menjadikan keseluruhan tangkapan adalah seramai 19 individu yang terdiri daripada 10 lelaki tempatan, lapan lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 17 hingga 71 tahun.
“Polis turut menahan dalang utama kes ini membabitkan seorang lelaki bergelar Datuk Seri di rumahnya di sekitar di Bukit Segar, Cheras,” jelasnya.
Tambah Azmi, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan 13 individu telah diarahkan untuk dituduh di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Sementara empat lagi individu akan diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 manakala dua lagi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001,” tegasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1) akta yang sama dan Seksyen 6(1)(c) Akta imigresen 1959/63. – K! ONLINE.