GURUN – Tindakan sekumpulan 10 lelaki dan tiga wanita memberi alasan berhimpun di sebuah rumah di Kampung Jeniang di sini semalam untuk memasang bendera Palestin gagal apabila mereka tetap dikompaun RM4,000 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam pemeriksaan polis kira-kira pukul 10.30 malam itu, kesemua individu berusia antara
27 hingga 45 tahun itu didapati sedang menjamu selera tanpa penjarakan fizikal.
Pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang bendera Palestin ditemui di rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Gurun dalam Ops Covid-19 PKP.
“Pemeriksaan mendapati semua individu itu sedang berbual dan menikmati makanan yang terhidang tanpa penjarakan fizikal.
“Kesemua mereka tinggal di sekitar Gurun dan dipercayai mengunjungi rumah berkenaan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE