fbpx

Bergaduh benda remeh tak ke mana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

DALAM sehari dua ini, alam media sosial terutamanya di Facebook heboh dan kalut pasal kuah laksa negeri mana yang paling padu serta sedap hingga menjadi perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Ia dikatakan bermula selepas seorang pengguna internet mempertikaikan mengenai tradisi isi ikan yang melengkapkan kuah laksa.

Kononnya isi ikan berharga mahal lebih memberikan aroma dan kesedapan kepada kuahnya.

Apa yang netizen lain tidak puas hati adalah dia merendah-rendahkan tradisi orang lain dalam membuat kuah laksa menggunakan isi ikan yang dilabelkan sebagai murahan dan hanya layak diberi kepada kucing.

Maka berduyun-duyunlah tentera bawang tidak bertauliah menyerang dan ‘menyekolahkan’ individu terbabit dan ada yang mengatakan jika dibuat dengan ikan mahal sekali pun kalau tak pandai masak tidak guna juga.

Alahai, inilah mentaliti rakyat kita. Macam tak ada perkara lain yang hendak dihebohkan, pasal laksa pun ribut satu dunia macam langit sudah mahu runtuh.

Ketika tanah dan rakyat Palestin di Gaza diganyang dan cuba dilenyapkan oleh rejim pengganas Zionis Israel, kita masih boleh relaks dan cuba menjatuhkan antara satu sama lain hanya kerana tidak berpuas hati dengan resipi laksa orang lain.

Sepatutnya, fikirlah macam mana nak membantu rakyat Palestin yang ditimpa kesusahan dek kerakusan rejim Zionis membedil kediaman mereka.

Cari topik lebih universal dan global sikit kalau nak bergaduh pun, barulah orang kampung tidak malu. Ini pasal benda remeh dan kecil pun, bergoncang dunia dibuatnya.

Lagi satu, cubalah menghormati hak orang lain dan jangan cuba menjatuhkan satu sama lain. Umpama meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri juga nanti.

Janganlah bersifat kebudak-budakan sangat, cuba berfikiran secara dewasa kerana masing-masing mempunyai cita rasa tersendiri.

Bak kata orang sekarang, simpanlah sikit sifat tidak cerdik yang ada pada diri kita.

Paling penting, hormatilah orang lain, jika kita mahu orang lain menghormati kita, begitulah sebaliknya.

Lagipun, hidup ini mudah, jangan menyulitkan perkara yang senang. Mudah-mudahan ini menjadi pengajaran berguna kepada kita semua pada masa depan.

Bergaduh pasal benda remeh ini tidak akan membawa kita ke mana-mana. Orang luar yang melihat kealpaan kita ini hanya ketawa sahaja. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI