fbpx

Akad nikah online dibenarkan di kawasan PKPD Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) membenarkan majlis akad nikah menggunakan kaedah sidang video dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini bermula 20 Mei lalu.

Pengarahnya, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, majlis akad nikah itu dibenarkan dengan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan iaitu pasangan atau salah seorang daripadanya berada di kawasan yang tidak dibenarkan merentas daerah, negeri atau berada di luar negara.

Katanya, selain itu, pasangan juga perlu mendapat kebenaran berkahwin dari Pejabat Agama Jajahan masing-masing dan majlis akad nikah secara sidang video dijalankan di premis persendirian.

“Ia perlu dilakukan dalam satu majlis (Ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan Ijab dan qabul. Majlis akad nikah yang berlangsung perlu berada di tahap yang yakin dan bukannya al-Zhan (sangkaan).

“Sidang video tersebut hanya boleh dihadiri tidak melebihi 10 orang termasuk seorang jurunikah, seorang wali, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan dua orang saksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Che Mohd. Rahim, bagi pihak perempuan, sidang video perlu dihadiri oleh jurunikah, pengantin perempuan, wali dan dua orang saksi di premis masing-masing.

Katanya, pengantin lelaki boleh menerima akad melalui sidang video dalam majlis yang dihadiri bersama dua orang lelaki sebagai saksi bagi menentukan kesahihan dan kebenaran di pihak pengantin lelaki.

“Tempoh penganjuran majlis akad nikah secara sidang video adalah tidak melebihi satu jam dan arahan ini diguna sehingga tamat tempoh PKPD di Kelantan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI