PETALING JAYA – Hasrat 18 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia memasuki negara ini untuk bekerja tidak kesampaian apabila kesemua mereka ditahan pihak berkuasa, semalam.
Kesemua mereka yang terdiri daripada 17 lelaki dan seorang wanita ditahan ketika melalui ‘lorong tikus’ berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia, dekat Kandaie, Lundu, Sarawak kira-kira pukul 5.20 petang.
Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, turut ditahan dalam operasi terbabit adalah tiga warga tempatan iaitu dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki sebagai tekong darat.
“Tindakan pantas oleh anggota yang sedang melaksanakan serang hendap (Serkap) berjaya menahan tiga warga tempatan serta merampas sebuah motosikal dan sebuah lori satu tan yang dipandu oleh dua orang tekong darat bagi menyeludup 18 orang PATI berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati penunggang motosikal tersebut bertindak sebagai pemerhati bagi memastikan lorong tikus tersebut selamat sebelum lori yang membawa kumpulan PATI berkenaan melaluinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, kesemua PATI berusia lingkungan 19 hingga 49 tahun serta tiga tekong darat warga tempatan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk tindakan lanjut
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus komited memperkasakan keselamatan di sempadan daratan negara dari sebarang bentuk pencerobohan sama ada oleh PATI mahupun jenayah rentas sempadan yang lain,” katanya.-K! ONLINE