PETALING JAYA – Seramai 133 gelandangan diselamatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu Operasi Menyelamatkan Gelandangan oleh DBKL bersama pelbagai agensi semalam di sekitar ibu kota.
Operasi tersebut bermula pukul 11 malam dengan seramai 125 kekuatan anggota turut melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Yayasan Kebajikan Negara.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, seramai 133 gelandangan telah berjaya diselamatkan di beberapa kawasan di sekitar pusat bandar.
“Antara kawasan tumpuan operasi meliputi kawasan Brickfields, KL Sentral, Masjid Negara, Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Maju Junction, Masjid India, Masjid Jamek, Cahaya Suria, Bangkok Bank dan di sekitar Hentian Bas Klang.
“Daripada 133 individu, 121 daripadanya merupakan warga tempatan membabitkan 111 lelaki, dan 10 wanita manakala baki adalah bukan warganegara,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, kesemua gelandangan terbabit akan ditempatkan di tiga buah Pusat Sementara Gelandangan (PSG).
“87 gelandangan akan ditempatkan di PSG Sentul Perdana, 34 orang akan diletakkan di PSG Setiawangsa manakala 12 orang di PSG Jinjang Utara.
“Tindakan proaktif DBKL dan agensi-agensi ini diharap dapat membantu mengawal penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan para gelandangan di samping membantu untuk memulihkan tatacara kehidupan mereka,” ujarnya. – K! ONLINE