PETALING JAYA – Hanya empat daerah sahaja di Semenanjung yang diletakkan di bawah zon kuning Covid-19, dengan masing-masing mempunyai kurang daripada 20 kes setakat semalam.
Situasi semasa daerah-daerah di seluruh negara berdasarkan pergerakan 14 hari taburan kes Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) malam tadi menunjukkan zon hijau pula semakin bertambah di Sabah.
Empat daerah di Semenanjung yang merupakan zon kuning ialah di Sik, Kedah (17 kes), Gua Musang, Kelantan (20 kes), Kemaman, Terengganu (1 kes) dan Rompin Pahang (13 Kes).
Sementara bagi zon hijau, di Sarawak daerah Kabong, Marudi dan Telang Usan mencatatkan kes sifar diikuti lapan daerah di Sabah iaitu Sipitang, Tambunan, Nabawan, Pitas, Kota Marudu, Tongod, Telupid dan Beluran.
Setakat ini, Selangor merupakan negeri zon merah yang mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu Hulu Langat (4,801), Petaling (7,984), Gombak (2,741), Klang (3,748), Kuala Selangor (889), Kuala Langat (1,217), Sepang (1,082), Hulu Selangor (472) dan Sabak Bernam (236). – K! ONLINE