fbpx

Tekanan B40 untuk teruskan hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Golongan berpendapatan rendah (B40) terutamanya peniaga dan be­kerja sendiri yang mempunyai simpanan kurang RM3,000 hanya mampu bertahan sebulan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau lockdown dilaksanakan.

Jumlah itu dengan mengambil kira anggaran kos sara hidup sebulan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 untuk satu isi rumah termasuk kos sewa rumah, pinjaman kereta, makan minum sesi rumah dan bil utiliti.

Penganalisis ekonomi bebas, Dr. Baayah Baba berkata, berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan golongan B40 tidak mempunyai simpanan dan bergantung kepada gaji.

Beliau berkata, tidak sampai 10 peratus golongan B40 mempunyai simpanan atau emas.

“Jika ada simpanan pun mungkin melalui pengeluaran i-Sinar dan i-Lestari sebelum ini.

“Namun saya yakin, ramai yang sudah menggunakannya untuk melangsaikan hutang sedia ada dan sebilangan kecil sahaja yang menyimpan sama ada dalam bentuk aset (emas) ataupun simpanan tetap di bank,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menurut Baayah, lebih parah jika golongan ini tidak mempu­nyai sebarang aset ketika ini.

“Jangkaan saya, mereka yang tiada simpanan atau aset cuma mampu bertahan kurang se­minggu kerana kebanyakan mereka bergantung sepenuhnya kepada gaji.

“Sebagai contoh peniaga dan penjaja yang bergantung kepada jualan atau hasil perniagaan ha­rian. Jika lockdown mereka tidak boleh berniaga,” katanya.

RAKYAT pada peringkat B40 merupakan golongan yang akan teruk terjejas sekiranya kerajaan melaksanakan lockdown.

Justeru Baayah berkata, kerajaan terpaksa mengkaji sedalam-dalamnya jika mahu melaksanakan lockdown kerana kesannya sangat besar kepada ekonomi dan rakyat.

“Golongan B40 dan miskin ini amat mudah terjejas. Banyak lagi cara yang mungkin boleh kerajaan laksanakan seperti me­ngetatkan prosedur operasi standard (SOP).

“Contohnya hanya ketua ke­luarga atau satu orang dari sebuah keluarga dibenarkan keluar pergi membeli dan perniagaan berjalan seperti biasa,” jelasnya.

Tambah beliau, jika lockdown dilaksanakan, kerajaan perlu mengembalikan semula bantuan bersasar seperti Bantuan Prihatin Nasional, moratorium dan bantuan kepada peniaga mikro.

“Namun, adakah kerajaan mampu mengembalikan bantuan seperti itu kerana memakan kos yang sangat tinggi seperti yang pernah dilaksanakan semasa PKP 1.0 dulu iaitu lebih RM400 bilion,” jelasnya.

Seorang lagi pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai mem­be­ritahu, lockdown akan menyebabkan negara rugi antara RM1 hingga RM1.5 bilion sehari.

Beliau berkata, dalam sebulan negara akan mengalami kerugian mencecah sehingga RM45 bilion­ dan akan menyebabkan Ke­luaran Dalam Negara Kasar negara semakin menyusut.

“Risiko-risiko ini ‘terpaksa’ ditanggung kerajaan. Itu belum lagi melibatkan soal mereka yang akan hilang kerja dan bisnes mungkin akan ditutup.

“Ketika ini kadar pengangguran dianggarkan sekitar 4.7 peratus atau lebih 700,000 orang hilang pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, untuk sektor perniagaan, 10 peratus daripada 2.5 juta peniaga kecil, penjaja dan bekerja sendiri akan terjejas.

Menurut Bajoyai, secara ke­seluruhan, lebih 8.5 juta rakyat negara ini akan terjejas berdasarkan data bantuan PKP 1.0.

“Angka ini akan bertambah jika kerajaan ingin memberi bantuan kepada mereka dan memerlukan RM2.55 bilion jika bantuan diagihkan bernilai RM300 sebulan,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI