JAKARTA – Seorang pengguna TikTok menarik perhatian netizen apabila memuat naik rakaman video dapur rumahnya yang dibina sekitar sebuah kubur lama, lapor Suara.com, semalam.
Pemilik akaun TikTok bernama Annisa itu memberitahu tapak kubur yang mempunyai batu nisan itu sudah lama wujud di rumahnya dan tidak pernah dialihkan.
“Memasak di tepi kubur, satu kebiasaan buat keluarga saya.
“Jangan salah sangka, keluarga saya tidak ‘mengganggu’ kubur itu. Kami hanya menggunakan dapur untuk memasak sahaja,” tulis wanita itu.
Rakaman video itu diulang tonton oleh pengguna media sosial lebih 2.5 juta kali dan dibanjiri pelbagai komen yang rata-rata meluahkan rasa seram.
“Kalau begini dapurnya, saya tidak berani bangun tengah malam dan masak IndoMie,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Kenapa tidak diasingkan kubur itu atau sekurang-kurangnya ditutupi dengan kain,” komen seorang lagi. – Agensi